Langkah-langkah Mengatasi Masalah Kemalangan Bas Ekspres

April 25, 2017 at 4:02 pm

Jawapan kepada Senator Datuk Haji Yahaya bin Mat Ghani@Abbas di Dewan Negara Pada 25hb. April, 2017

Soalan: Meminta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan tentang kemalangan bas ekspres yang begitu kerap dan serius, apakah langkah yang telah dan sedang dilakukan Kerajaan untuk memastikan keselamatan penumpang terjamin.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian melalui Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sentiasa menjalankan kempen dan advokasi keselamatan jalan raya untuk memberikan kesedaran kepada para pengguna jalan raya termasuk pemandu bas ekspres terhadap kepentingan menjaga keselamatan di atas jalan raya bagi memastikan pemandu-pemandu bas ekspres mematuhi peraturan dan keselamatan agar kadar kemalangan bas dapat dikurangkan seterusnya dapat menjamin tahap keselamatan para penumpang bas ekspres.

Kerajaan juga akan mengadakan audit pemeriksaan secara komprehensif terhadap pembuat badan bas (body builder) di kilang-kilang untuk memastikan pembuatan adalah mengikut standard dan spesifikasi yang ditetapkan di bawah peraturan United Nations Economic Commision for Europe (UNECE).

Selain itu, pihak MIROS juga menjalankan program Safety Star Grading (SSG) kepada pengendali bas ekspres bagi mengenal pasti tahap keselamatan bas. Keputusan SSG ini dimaklumkan kepada orang awam melalui laman sesawang dan semasa pameran yang dijalankan oleh MIROS. Keputusan ini akan membantu pengguna untuk membuat pilihan yang lebih baik semasa memilih bas untuk dinaiki ke destinasi pilihan. Buat masa ini, program ini masih dijalankan secara sukarela.

Pihak SPAD juga telah mewujudkan suatu mekanisme pemantauan terhadap kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam dengan menggunakan Performance Monitoring Hub System (PMHS). Sistem ini berupaya untuk memantau pergerakan kenderaan, pemandu yang sedang memandu, had laju dan lokasi kenderaan terbabit. Buat masa ini, sistem ini telah dikuatkuasakan ke atas Bas Henti-Henti dan akan diperluaskan kepada Bas Ekspres, Bas Persiaran dan lain-lain jenis pengangkutan awam di masa akan datang.

Selain itu, mulai 15 April 2017, Sistem Mata Demerit bagi kesalahan had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat telah diperkenalkan di mana bagi kesalahan had laju bagi kenderaan barangan dan bas, ianya boleh dikenakan maksimum 6 mata Demerit bagi setiap kesalahan. Sistem Mata Demerit yang diperkenalkan ini akan dapat meningkatkan kesedaran dan kepatuhan pemandu kenderaan motor terhadap peraturan lalu lintas.

Berkenaan kemalangan bas ekspres di KM 137.1, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Pagoh pada 3:30am 24 Disember 2016 yang mengakibatkan 14 kematian dan 16 kecederaan, analisa komprehensif telah dijalankan oleh MIROS, yang merangkumi empat aspek utama iaitu keadaan jalan dan persekitaran, pembinaan dan rekabentuk bas, operasi bas dan penguatkuasaan. Satu laporan lengkap telah diterbit, dibentang dan diterima oleh Kabinet pada 1 Mac 2017. Penambahbaikan daripada aspek–aspek tersebut telah dikenalpasti dan Kerajaan adalah komited untuk mengambil langkah-langkah demi meningkatkan tahap keselamatan perkhidmatan bas di Malaysia, terutamanya pengajaran daripada insiden-insiden yang berlaku di Jalan Raya.

Satu makmal kerja Transformasi Bas Ekspres telah dianjurkan oleh SPAD dari 20 Februari 2017 – 7 April 2017 untuk menambahbaik perkhidmatan dan operasi industri bas ekspres di Malaysia. Laporan kemalangan Pagoh telah diguna pakai sebagai rujukan utama dalam menggariskan transformasi industri bas ekspress di Malaysia. Langkah-langkah pelaksanaan transformasi industri bas ekspres termasuk business model dan pemandu-pemandu bas telah digariskan.