Penaiktarafan Lapangan Terbang Sandakan

May 7, 2017 at 1:43 pm

UCAPAN
YB. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI

MAJLIS PERASMIAN
BANGUNAN TERMINAL BAHARU DAN
PELANCARAN PROJEK PEMANJANGAN LANDASAN
LAPANGAN TERBANG SANDAKAN, SABAH

7 MEI 2017 (AHAD)
Terima kasih Pengacara Majlis.

YAB Datuk Seri Panglima Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia.

YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman,
Ketua Menteri Sabah.

YB Datuk Abdul Aziz bin Kaprawi,
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia.

YB Menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri Sabah

Ketua-ketua Setiausaha, Ketua-ketua Pengarah,

Agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah,

Rakan-rakan media,

Dif-dif jemputan,

Tuan-tuan, puan-puan serta para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi, Salam Sejahtera dan Salam “Negaraku”.

PENDAHULUAN

1. Pertamanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri di atas kesudian YAB Dato’ Sri untuk merasmikan Majlis Perasmian Bangunan Terminal Baharu Dan Pelancaran Projek Pemanjangan Landasan Lapangan Terbang Sandakan, Sabah pada hari ini.

2. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri Sabah di atas sokongan tidak berbelah bagi yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian pengangkutan dalam melaksanakan projek-projek menaik taraf infrastruktur pengangkutan udara di Negeri Sabah amnya.

3. Saya juga amat berbesar hati dapat berada di majlis ini kerana kita akan menyaksikan satu lagi pencapaian ataupun milestone di dalam sektor pengangkutan awam negara dalam waktu negara kini sedang mengalami transformasi besar-besaran.

4. Projek infrastruktur pengangkutan awam berskala besar ini telah direncana dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti pada rangkaian pengangkutan awam. Inisiatif turut tertumpu ke arah peningkatan kecekapan dan keandalan perkhidmatan yang sedia ada.

5. Untuk pengetahuan hadirin sekalian, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, Kerajaan Persekutuan telah merencana pelbagai rancangan pembangunan infrastruktur pengangkutan udara di seluruh Malaysia.

6. Sebanyak RM 300,116,699.00 telah diperuntukkan oleh Kerajaan persekutuan bagi tujuan pembangunan infrastukrur berkaitan sektor Udara seluruh negara. Daripada jumlah keseluruhan peruntukan RMKe-11 tersebut, sebanyak RM 93,055,109.00 telah diperuntukan khusus untuk pembangunan infrastruktur pelbagai sektor di Sabah sahaja.

7. Sebanyak RM 13,170,409.25 telah pun dibelanjakan dari tahun 2016 hingga 2017 bagi pembangunan infrastruktur berkaitan pengangkutan di Sabah yang meliputi pelbagai sektor. Untuk sektor udara sahaja, sebanyak RM 1,484,856.36 telah dibelanjakan.

8. Manakala bagi tahun 2017 khususnya, sebanyak RM 79,242,000.00 telah disediakan untuk sektor pengangkutan di Negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut, RM 41,140,000.00 telah diperuntukkan untuk pembangunan dalam sektor Udara.

9. Daripada jumlah perbelanjaan dan peruntukan yang telah dinyatakan ini, jelaslah bahawa Kerajaan Persekutuan amat komited dan serius dalam menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik bagi memastikan kualiti hidup rakyat di Negeri Sabah dapat dipertingkatkan.

Hadirin sekalian,

10. Kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang sedia ada yang sedang kementerian laksanakan kini termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, pemanjangan landasan di Lapangan Terbang Batu Berendam di Melaka, naik taraf Lapangan Antarabangsa Langkawi dan termasuklah pemanjangan landasan terbang di Lapangan Terbang Sandakan yang akan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada pagi ini.

11. Dalam hal ini juga, sukacita saya maklumkan bahawa pembinaan lapangan terbang baharu di Mukah, Sarawak juga akan bermula pada tahun ini.

12. Melihat kepada statistik bilangan penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Sandakan, pada tahun 2016 seramai 882,811 orang telah direkodkan menggunakan lapangan terbang ini berbanding 853,411 orang pada tahun sebelumnya.

13. Adalah menjadi harapan saya agar trend peningkatan ini akan berterusan lebih-lebih lagi setelah projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sandakan siap disempurnakan. Ini kerana setelah siap, lapangan terbang ini boleh menerima pendaratan kapal tanpa had muatan untuk operasi pesawat Airbus 320 dan Boeing 737.

14. Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada semua pihak yang terlibat supaya bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi mempromosi Sandakan sebagai satu destinasi pelancongan utama agar kita dapat menarik lebih banyak pesawat untuk membuat penerbangan ke lapangan terbang ini seterusnya menikmati keindahan Sandakan dalam pakej-pakej eko-pelancongan yang ditawarkan.

YAB Dato’ Sri, tuan-tuan dan puan-puan,

15. Kementerian Pengangkutan amat berbangga dengan pembangunan infrastruktur yang serba moden dan lengkap di Lapangan Terbang Sandakan ini. Lapangan Terbang ini kini bakal menjadi sebuah ikon baru yang boleh dibanggakan bagi negeri di bawah bayu ini.

16. Dengan kemudahan yang baru serta kapasiti penumpang yang jauh lebih besar, penduduk di sekitar Sandakan khususnya, serta seluruh Sabah secara amnya, bakal menikmati pelbagai impak positif hasil daripada kepesatan lapangan terbang ini.

17. Bangunan terminal baru ini dilengkapi dengan kemudahan termasuklah 12 kaunter daftar masuk berbanding 8 sebelumnya, balai pelepasan dan ketibaan yang dua kali ganda lebih besar dari dahulu (pelepasan: lama – 570sqm, baru – 815sqm; ketibaan: lama – 1160sqm, baru – 1550sqm) serta sistem pengendalian bagasi yang baru yang lebih canggih dan moden.

18. Justeru, apabila siap kelak, kerajaan mengharapkan fast impact kepada sektor ekopelancongan negeri Sabah akan dapat direalisasikan. Ia turut dijangka dapat menarik lebih banyak syarikat penerbangan komersil serta penerbangan sewaan khas terutamanya dari Republik Rakyat China untuk terbang secara terus ke Sandakan.

Hadirin sekalian,

19. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, agensi kerajaan samada dari Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri dan lain-lain yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada pelaksanaan projek menaik taraf lapangan terbang ini.

20. Maka dengan ini, besar harapan saya untuk melihat projek ini akan menyumbang faedah besar kepada Negeri Sabah amnya dan Daerah Sandakan secara khususnya.

21. Akhirnya saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana sudi hadir bagi menyempurnakan acara perasmian pada hari ini.

22. Juga penghargaan tidak terhingga saya kepada Kerajaan Negeri Sabah dibawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Hj Aman di atas segala komitmen dan kerjasama sehingga terlaksananya projek ini dan juga majlis pada hari ini.

23. Akhir kata, Salam Sejahtera dan Salam Negaraku.

Sekian, terima kasih.