|
Tempat: Desa Mentari PJS 6/5C Keadaan demam denggi di seluruh negara sekarang sangat membimbangkan. Bilangan kes demam denggi telah meningkat sebanyak 8% di mana sehingga 21 Ogos 2010, sebanyak 31,529 kes denggi telah dilaporkan di seluruh negara berbanding 29,223 kes dalam dalam tempoh yang sama tahun lepas. Apa yang lebih membimbangkan ialah bilangan kematian yang dicatatkan setakat ini telah meningkat sebanyak 49% dengan 101 kematian akibat denggi, berbanding 68 kematian dalam tempoh yang sama tahun 2009. Bagi Daerah Petaling pula, walaupun bilangan kes mencatatkan sedikit penurunan iaitu sehingga 21 Ogos, sebanyak 4,473 kes yang dilaporkan berbanding 4,609 kes pada tahun lepas, namun bilangan kematian telah meningkat dari 8 kematian pada tahun lepas kepada 17 kematian setakat ini. Kawasan Desa Mentari, Mentari Courts dan Ara Damansara adalah di antara kawasan-kawasan yang bermasalah di Petaling. Sehingga kini, Desa Mentari telah melaporkan sebanyak 44 kes Demam Denggi, Mentari Courts 63 kes dan Ara Damansara pula sebanyak 13 kes. Ketiga-tiga kawasan ini juga merupakan kawasan di mana wabak denggi seringkali berulang-ulang. Memandangkan peningkatan kes dan kematian akibat denggi ini membimbangkan, maka Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan dan inisiatif yang lebih serius serta tegas bagi memperkukuhkan aktiviti pencegahan Denggi diperingkat komuniti, termasuk: · Mengenakan kompaun maksimum, iaitu sebanyak RM500.00 kepada pemilik premis yang membiak Aedes; · Meningkatkan pelaksanaan program COMBI (Communication for Behavioural Impact), terutamanya di kawasan hot spots; dan · Meningkatkan promosi dan pengiklanan membenteras denggi di lokasi hot spots, terutamanya menjelang perayaan. Seperti kita semua sedia maklum, menjelang 2 minggu dari sekarang, ramai penduduk sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Adalah menjadi harapan saya agar dalam kegembiraan kita menyambut hari lebaran, kita tidak lupa untuk memastikan rumah kita bebas dari tempat-tempat pembiakan Aedes. Di samping itu juga kita hendaklah mempastikan tiada bekas-bekas yang menakung air ditinggalkan di dalam atau di luar rumah ketika balik ke kampung. Jika terpaksa juga, bekas-bekas ini hendaklah dibubuh racun jentik-jentik yang boleh diperolehi di kedai-kedai atau di Pejabat Kesihatan yang berdekatan. Usaha ini hanya memerlukan masa selama 10 minit sahaja dalam seminggu. Kita tidak mahu selepas bersuka ria bersama keluarga, dan pulang semula ke rumah masing-masing, rumah kita dipenuhi oleh jentik-jentik dan nyamuk Aedes, kerana kita tahu bahawa kitaran hidup nyamuk dari telur menjadi nyamuk dewasa hanya memakan masa selama 7 hari sahaja. Sebagai Menteri Kesihatan, saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan masyarakat Malaysia mengenai tabiat pemakanan harian kita pada bulan Ramadan dan menjelangnya Hari Raya nanti. Setibanya Hari Raya, banyak rumah terbuka akan diadakan. Ingatan saya, berhati-hatilah dalam memilih makanan, terutamanya semasa berbuka puasa. Pastikan makanan yang diambil itu bersih, selamat dan berkhasiat. Jangan makan makanan yang telah berubah dari segi rupa fizikal, bau dan rasa kerana ini akan mengelakkan dari berlakunya keracunan makanan. Kurangkan pengambilan manis yang melampau, terutamanya dalam kueh mueh dan minuman. Begitu juga yang melibatkan lemak dan minyak. Jauhi dari sifat beberapa pepatah yang terkenal di kalangan rakyat Malaysia, seperti “Hidup untuk makan” dan “Makanlah sebelum sakit, kerana apabila sudah sakit, tak dapat makan lagi.” Tetapi ingatlah pepatah berikut: “Punca segala jenis penyakit datangnya daripada perut”. Tujuan utama kita mengawal corak pemakanan ialah untuk menjauhi diri daripada penyakit yang dikaitkan dengan pemakanan yang tidak sihat, seperti kencing manis (diabetes), darah tinggi, penyakit jantung dan masalah obesiti. Pesanan saya, makanlah berpada-pada. Kurangkan makanan manis, masin dan lemak tetapi lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan.
|