Perutusan Hari Pekerja

April 30, 2017 at 11:22 am

Perutusan Hari Pekerja
1 MEI 2017

Liow: Kerajaan fokus sokong tenaga kerja Malaysia

Kepada seluruh rakyat Malaysia, selamat menyambut Hari Pekerja yang menceriakan dan menenangkan bersama keluarga. Bagi mereka yang baru menempa alam pekerjaan mahupun yang telah lama berkhidmat, juga bagi yang bekerja dalam industri buruh kasar dan yang berkecimpung dalam bidang pekerjaan profesional dalam bidang masing-masing, setiap insan telah menyumbang dan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negara ini.

Kejayaan perkembangan ekonomi Malaysia adalah hasil sumbangan dan penat lelah rakyat Malaysia. Walaupun berhadapan dengan cabaran dan kekangan global, rakyat Malaysia tetap bersatu teguh dan penuh beriltizam demi mengatasi halangan yang mendatang.

Sesungguhnya, pencapaian ini telah terbukti dengan pencapaian di World Economic Forum’s Global Competitiveness Report 2016-2017 di mana negara Malaysia terletak di tangga ke-11 daripada 138 negara bagi sektor pengangkutan. Pencapaian sehingga kini telah berjaya dirangkul berdasarkan perkembangan pantas dan usaha peningkatan infrastruktur pengangkutan Malaysia.

Keterhubungan merupakan pemangkin yang menggalakkan kecekapan, keberkesanan dan juga produktiviti secara keseluruhan. Selari dengan ini, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengangkutan terus komited dalam meningkatkan perhubungan merentasi darat, penerbangan dan sektor maritim. Impak positif dalam produktiviti negara akan meningkatkan persaingan ekonomi dan seterusnya menjana pendapatan yang lebih tinggi untuk tenaga kerja, sekali gus menjadikan usaha ini sebagai sebuah platform demi mencapai aspirasi sebagai negara maju berpendapatan tinggi.

Seiringan dengan itu, kerajaan Barisan Nasional telah menetapkan matlamat untuk menumpukan perhatian terhadap kebajikan dan menaikkan taraf kehidupan tenaga pekerja Malaysia. Kebelakangan ini, kami telah menerapkan usaha untuk memperlengkapkan landasan kerja yang kukuh buat pekerja melalui pelbagai inisiatif.

Sudah tentu akan wujud golongan pembantah dan bersikap skeptik serta tidak bervisi ataupun berpandangan jauh dalam kepentingan usaha kerajaan untuk melindungi tenaga kerja Malaysia sambil mencapai pembangunan ekonomi.

Walau bagaimanapun, saya menaruh kepercayaan bahawa kita berada di atas landasan yang teguh demi membangunkan sebuah negara yang kompetitif dan maju melalui usaha yang diterajui oleh Kerajaan demi feadah rakyat.

Sekali lagi, saya mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Malaysia. Khas bagi mereka yang akan memandu pada cuti hujung minggu yang panjang ini, semoga perjalanan anda selamat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

[TAMAT]