Malaysia Dipilih Semula Untuk Menduduki Kerusi Ahli Majlis IMO

December 2, 2017 at 9:51 am

imo

KENYATAAN MEDIA
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
Tarikh: 2-12-2017

Liow:  Malaysia Dipilih Semula Untuk Menduduki Kerusi Ahli Majlis IMO Kategori C Bagi Penggal Ketujuh Berturut-Turut

London, 1 Disember 2017 – Malaysia telah berjaya dipilih semula untuk menduduki kerusi Ahli Majlis International Maritime Organisation (IMO) Kategori C untuk tempoh 2018-2019 bagi penggal ketujuh berturut-turut semasa sesi pemilihan yang diadakan sempena Persidangan Agung IMO di Ibu Pejabat IMO, London pada hari Jumaat, 1 Disember 2017.

Semasa sesi pemilihan tersebut, Malaysia telah berjaya meraih sebanyak 131 undi dari kalangan 24 buah negara yang turut bertanding dalam Kategori C.

Saya telah mengetuai delegasi Malaysia dan turut diiringi oleh Datuk Seri Hj Saripuddin bin Hj Kasim, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi yang berkaitan.

Kejayaan Malaysia semasa sesi pemilihan tersebut merupakan pengiktirafan negara-negara ahli IMO akan sumbangan dan kepentingan Malaysia di IMO dan dalam sektor maritim antarabangsa. Kejayaan ini juga merupakan hasil kerjasama dan sokongan daripada setiap agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri dalam memastikan Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Majlis IMO.

IMO merupakan sebuah pertubuhan khusus yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bertanggungjawab terhadap hal-hal berkaitan keselamatan kapal, keselamatan pelayaran dan pencegahan serta pengawalan pencemaran laut yang dihasilkan dari aktiviti perkapalan. Perhimpunan Agung IMO diadakan setiap dua tahun sekali dan pemilihan Ahli Majlis IMO turut diadakan semasa perhimpunan tersebut.

Kejayaan Malaysia mengekalkan kerusi Majlis IMO akan memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing terhadap pentadbiran maritim negara sekaligus akan melabur dalam sektor perkapalan dan pelabuhan negara yang semakin berkembang maju.

Sebagai ahli Majlis IMO, Malaysia akan menekankan peri pentingnya pembangunan sumber manusia di kalangan negara-negara membangun bagi memastikan bahawa semua negara ahli IMO dapat melaksanakan obligasi mereka serta mengaplikasikan konvensyen-konvensyen IMO yang diterima pakai.

Sebelum ini, Malaysia telah melaksanakan beberapa program pembangunan sumber manusia bagi rantau Afrika, Amerika Latin dan negara-negara dari kepulauan kecil. Malaysia juga telah memberikan sumbangan kewangan kepada World Maritime University, Sweden serta International Maritime Law Institute, Malta bagi meningkatkan fasiliti dan kelengkapan institusi latihan tersebut.

[TAMAT]