Inisiatif eCall Malaysia

January 17, 2018 at 7:55 pm

img_3263

UCAPAN Y. B. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM KERJASAMA (MOC) ANTARA
MIROS DAN TELEKOM MALAYSIA (TM) BERHAD
17hb. JANUARI 2018

Tuan/ Puan yang dihormati sekalian.

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak urus setia kerana menjemput saya hadir ke Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara MIROS Dan Telekom Malaysia (TM) Berhad.

2. Tahniah dan syabas kepada pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Telekom Malaysia Berhad kerana bekerjasama dalam menganjurkan majlis ini.

3. Majlis ini adalah satu usaha Kerajaan Malaysia yang sungguh bermakna dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di Malaysia. Pelaksanaan inisiatif eCall Malaysia dapat memastikan maklumat kemalangan yang tepat seperti masa, lokasi dan arah kejadian, accelerometer data, gyroscope data dan sebagainya di salurkan ke Pusat Panggilan Kecemasan, MERS 999 dengan lebih pantas.

4. Kerajaan memandang serius mengenai statistik kemalangan jalan raya semakin meningkat saban tahun. Justeru, inisiatif dan intervensi yang holistik diperlukan bagi menangani masalah ini.

5. Jumlah kemalangan jalan raya yang direkodkan sepanjang 2016 telah meningkat kepada 521,466 berbanding 489,606 pada tahun sebelumnya. Begitu juga dengan statistik kemalangan maut yang meningkat kepada 7,152 berbanding 6,706 pada 2015. Ianya menunjukkan peningkatan sebanyak 446 dalam jangka masa setahun.

6. Bagi tahun 2017 pula, jumlah kematian yang dicatatkan adalah seramai 5,038 orang dari bulan Januari sehingga bulan September.

7. Justeru, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah keselamatan jalan raya untuk mengurangkan kemalangan. Ini termasuk menaik taraf jalan raya, pendidikan keselamatan jalan raya, seperti AwAS (Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik) yang menggabungkan penggunaan teknologi dan potongan mata demerit serta penglibatan dengan orang awam dan NGO dalam program yang dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian disebabkan kemalangan jalan raya.

8. Sejajar dengan pelancaran Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014 – 2020 (PKJRM 2014 – 2020) pada November 2014 oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di Malaysia, pelaksanaan eCall Malaysia merupakan salah satu initiatif keselamatan jalan raya yang bersandarkan Tonggak Kelima United Nations Decade of Action for Road Safety 2011 – 2020 iaitu penekanan terhadap penambahbaikan tindak balas kecemasan pasca kemalangan.

9. Pelaksanaan eCall Malaysia merupakan langkah proaktif kerajaan dalam mengurangkan masa notifikasi yang diambil bagi mangsa kemalangan untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

10. Notifikasi secara automatik dengan maklumat yang tepat ini akan mengoptimumkan lagi penghantaran bantuan kecemasan ke tempat kejadian. Inisiatif ini boleh mengurangkan tahap keseriusan kecederaan sekaligus mampu mengurangkan kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya.

11. Sebagai bonus, sistem eCall Malaysia ini juga akan dilengkapi dengan fungsi anti-theft, satu fungsi unik yang diperkenalkan oleh Malaysia berbanding negara lain.

12. Saya berharap, pelaksanaan eCall Malaysia ini dapat disambut baik oleh semua pihak khususnya pengeluar kereta bagi membantu kerajaan mencapai sasaran untuk mengurangkan sebanyak 50% kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang tahun 2020.

13. Ini adalah sangat penting kerana nyawa setiap pengguna jalan raya begitu berharga. Kita semua punya tanggungjawab dan peranan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya adalah terjamin.

14. Akhir kata, besarlah harapan saya agar Memorandum Kerjasama ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara MIROS Dan Telekom Malaysia (TM) Berhad dan meningkatkan komitmen kedua-dua pihak, seterusnya membuka peluang kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.
15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir pada majlis yang penuh bermakna ini.

Sekian. Terima kasih.