Kempen Keselamatan Jalan Raya

January 25, 2018 at 12:38 pm

Teks Ucapan Oleh Y. B. Dato’ Sri Liow Tiong Lai
Menteri Pengangkutan Malaysia

Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2018
Anjuran Bersama Malaysia Motorcycle And Scooter Dealers Association (Mmsda) Dengan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd
25 Januari 2017 (Khamis)

1. Salam Sejahtera, Salam 1Negaraku Malaysia dan Selamat Pagi kepada semua.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kawasaki Motors Malaysia dan Persatuan Penjual Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) di atas kejayaan menganjurkan kempen pada pagi ini.

3. Terima kasih juga diucapkan kepada agensi-agensi kerajaan dan syarikat korporat yang turut menjayakan kempen ini.

4. Sesungguhnya, komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya menjelang musim perayaan harus dipuji.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

5. Walaupun pelbagai program, peraturan dan penguatkuasaan telah di jalankan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), namun statistik kemalangan masih membimbangkan.

6. Penunggang dan pembonceng motosikal merupakan antara kategori pengguna jalan raya yang melibatkan angka kematian tertinggi. Secara perbandingan,

• Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya bagi tahun 2016 adalah 7,152 kematian.
• Daripada jumlah tersebut, 4485 kematian adalah terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal.
• Ia jelas menunjukkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal merupakan pengguna jalan raya yang paling berisiko semasa di jalan raya.

7. Angka-angka ini seharusnya membuka mata banyak pihak untuk mengamalkan sikap berhati-hati. Tidak dapat dinafikan bahawa sikap pengguna jalan raya sendiri merupakan punca utama kemalangan.

8. Sikap pengguna yang suka memandu melebihi had laju, menukar laluan tanpa memberikan isyarat, berlumba, mencelah-celah, melanggar lampu isyarat dan sebagainya perlu dihindari. Ia akan membawa impak yang besar kepada seseorang individu, keluarganya dan juga kepada negara.

9. Sikap positif dan hormat terhadap pengguna lain perlu diamalkan agar pengguna tidak mementingkan diri sendiri dan saling bertolak ansur semasa berada di jalan raya.

10. Penekanan aspek keselamatan penunggang motosikal bukan tertumpu kepada penggunaan topi keledar yang menepati spesifikasi yang ditetapkan semata-mata, tetapi juga pemakaian vest pemantul cahaya oleh penunggang dan pembonceng motosikal yang menampakkan ciri-ciri kebolehlihatan kepada pengguna jalan raya yang lain.

11. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai amalan seharian kita. Ingatlah, perubahan sikap sebenarnya bermula daripada diri kita sendiri.

12. Maka, tema kempen kali ini iaitu “Fikir Keselamatan, Tunggang dengan Bertanggungjawab” telah dipilih oleh penganjur supaya dapat memberi kesedaran kepada para pengguna jalan raya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

13. Saya dimaklumkan bahawa Kawasaki Motors Malaysia baru-baru ini juga melancarkan Kursus Safety Riding ini akan memberikan tumpuan kepada Advokasi pengandilian jentera dengan lebih mahir. Ini adalah permulaan baik oleh sebuah pengeluar motorsikal.

14. Saya yakin bahawa program sebegini dapat membantu pihak kerajaan dalam misi mengurangkan kadar kemalangan. kerajaan amat menggalakkan pihak korporat dan syarikat-syarikat swasta bekerjasama dalam program di bawah tanggungjawab sosial atau lebih dikenali sebagai Corporate Social Responsibility (CSR).

15. Gabungan usaha bersepadu ini menunjukkan betapa kerajaan serius dan komited dalam melaksanakan usaha mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

16. Di samping itu, Kementerian Pengangkutan akan terus dengan usaha menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya di Malaysia melalui pelbagai kempen serta saluran media seperti suratkhabar, radio, televisyen dan media social.

17. Usaha berterusan ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat difahami, diguna pakai dan diadaptasi dengan baik oleh semua pengguna jalan raya.

18. Akhir kata, ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak Kawasaki Motors Malaysia, Persatuan Penjual Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kempen pada tahun ini.

19. Dengan ini, saya merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2018 bersempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina.

20. Selamat menyambut Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai!

21. Terima kasih.