Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu

February 10, 2018 at 1:34 pm

471ee962-dd87-4421-9c64-1a57dc7b6dfa

TEKS UCAPAN YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI,
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA
DAN OPS BERSEPADU BERSEMPENA DENGAN PERAYAAN TAHUN BARU CINA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2018
10 FEBRUARI 2018 (SABTU)

Tuan-tuan dan puan-puan serta para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat Pagi , Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia.

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian para hadirin pada pagi ini untuk bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan Sempena Tahun Baru Cina 2018.

2. Ucapan terima kasih kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dan tidak lupa juga pihak sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di atas kerjasama yang berterusan diberikan bagi menjayakan majlis ini.

3. Sesungguhnya, komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak bagi menghadirkan diri di majlis ini merupakan simbolik kepada usaha keras berterusan dan tanpa jemu bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan lebih utama lagi kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sempena Musim Perayaan khususnya perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

4. Usaha untuk memelihara keselamatan jalan raya adalah keutamaan kita semata-mata untuk memastikan jalan raya yang kita guna setiap hari selamat.

5. Pelbagai kempen media dan inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan mahupun sektor swasta dan NGO bagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mengikut undang-undang jalan raya dan menghormati hak-hak pengguna jalan raya yang lain.

6. Jalan raya yang kerajaan bina atau kenderaan yang kita gunakan adalah untuk memudahkan mobiliti kita dan bukan untuk mencederakan atau menyebabkan kematian.

7. Sejak tahun 2002 angka kematian akibat kemalangan jalan raya merekodkan peningkatan dengan rekod pada tahun 2016 mencatatkan 7,152 kematian. Pada tahun lepas (2017) perangkaan oleh PDRM merekodkan sebanyak 6740 kematian iaitu penurunan sebanyak 412 kematian. Usaha-usaha pelbagai pihak ini akhirnya membuahkan hasil kerana kadar kematian akibat kemalangan jalan raya akhirnya menurun daripada angka tahun 2016 dengan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar adalah 2.34 bagi tahun 2017 berbanding 2.59 pada tahun 2016.

8. Seperti tahun-tahun sebelumnya, motosikal masih menjadi penyumbang utama angka kematian di jalan raya. Daripada jumlah pengguna jalan raya yang maut pada tahun 2017, 64.5% adalah pengguna motosikal iaitu sebanyak 4348 daripada jumlah motosikal yang berdaftar iaitu melebihi 13 juta.

9. Kerajaan memandang serius akan perkara ini. Pelbagai program, inisiatif dan kempen telah dijalankan bagi menangani masalah kemalangan jalan raya yang tinggi. Kumpulan sasaran utama termasuk anak-anak muda kebanyakannya terus didekati supaya kempen secara terus dan bersemuka dapat dijalankan bagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan fokus semasa di jalan raya. Kerajaan mengharapkan menjelang sasaran kita untuk menjadi negara maju, sikap rakyat kita ketika berada di jalan raya boleh diubah seperti rakyat negara maju yang lain.

10. Disamping cuba mengubah sikap melalui kempen yang berterusan, kita telah melaksanakan Automated Awareness Safety System (AwAS) bermula pada tahun 2017 yang lalu bagi membantu merealisasikan penurunan mendadak kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

11. Dengan gabungan penggunaan teknologi berkamera dan potongan mata demerit, AwAS dijangka mampu menampakkan hasil yang berkesan bagi membentuk sikap pengguna jalan raya dengan mematuhi peraturan melalui penguatkuasaan yang efisien dan efektif.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

12. Menjelang setiap musim perayaan atau cuti panjang, sepatutnya menjadi pengalaman indah kepada kita terutama dapat bersama keluarga tercinta. Malang sekali, apabila hampir di setiap musim perayaan kita diselubungi kesedihan akibat kemalangan jalan raya yang membawa kecederaan parah mahupun kematian.

13. Mengikut laporan dan siasatan Polis Diraja Malaysia, punca-punca berlakunya kemalangan di jalan raya seperti ini kebanyakannya daripada sikap dan amalan para pengguna itu sendiri. Amalan menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan menunggang dilihat semakin berleluasa. Sikap sebegini sewajarnya dihentikan kerana boleh menyebabkan risiko pelanggaran maut kerana leka memandang telefon bimbit dan tidak fokus kepada pemanduan di jalan raya, bukan sahaja akan memberi kemudaratan kepada diri sendiri malahan boleh mengorbankan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

14. Kecuaian manusia atau human error merupakan punca utama iaitu 80.6% kemalangan di jalan raya. Saya pohon dengan sebenar-benarnya janganlah hanya kerana ingin cepat tiba ke destinasi nyawa kita dan orang lain terancam dan tergadai. Biar lambat asal selamat.

15. Kita semua tahu bahawa penyumbang terbesar kepada kemalangan adalah akibat memandu atau menunggang melebihi had laju, menukar laluan tanpa memberikan isyarat, berlumba, mencelah-celah, melanggar lampu isyarat serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

16. Maka, tema kempen iaitu “Pandu Cermat, Sampai Selamat” akan terus diguna pakai supaya dapat memberi kesedaran kepada para pengguna jalan raya.

b9bd2452-9c54-434f-b68a-29114e687f67

Program Penguatkuasaan

17. Saya amat gembira dan berbesar hati kerana, PDRM dan JPJ sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan Ops Selamat (PDRM) dan Ops Bersepadu (JPJ) yang akan dilaksanakan serentak dalam tempoh yang sama bermula daripada 9 Februari 2018 hingga 23 Februari 2018.

18. Ops Selamat ini akan memberikan tumpuan kepada advokasi dan penguatkuasaan undang-undang melalui konsep Ronda dan Statik di kawasan kerap berlaku kemalangan atau black spot.

19. Malah, pihak polis juga akan melakukan pemantauan udara bersama Pasukan Gerakan Udara PDRM yang akan membantu dalam penugasan trafik dengan menunjukkan omni-presence sepanjang Ops Selamat.

20. Ops Bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula seperti lazimnya akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan pemeriksaan ujian air kencing bagi pemandu bas di 30 terminal bas.

21. Objektif utama penguatkuasaan adalah untuk meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya.

22. Antara program yang telah dirangka bagi mencapai objektif tersebut termasuklah:-
a. Pemeriksaan Bas di Depoh;
b. Pemeriksaan Bas di Terminal;
c. Peyamaran Sebagai Penumpang Bas;
d. Rondaan di Lebuh Raya dan Jalan Utama;
e. Penguatkuasaan Ops Motosikal Khas;
f. Program Advokasi; dan
g. Kempen Keselamatan Media Sosial.

Hadirin sekalian,

23. Gabungan usaha bersepadu di antara pelbagai kementerian dan agensi serta kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat dan NGO menunjukkan betapa kerajaan serius dan komited dalam melaksanakan usaha mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

24. Kementerian Pengangkutan melalui JKJR terus komited dalam menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya di Malaysia melalui saluran radio dan televisyen milik kerajaan dan swasta dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat.

25. Selain itu, penumpuan terus diberikan kepada media digital dan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter seiring dengan minat Generasi Y yang lebih cenderung untuk mendapatkan sebarang info melalui media sosial berbanding media cetak.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kawalan dan sekatan dalam tempoh Ops Bersepadu

26. Seperti setiap tahun, terdapat beberapa kawalan yang akan dilaksanakan menjelang setiap musim perayaan. Ini termasuk larangan ke atas kenderaan barangan tertentu pada 14 dan 15 Februari 2018 serta 24 dan 25 Februari 2018.

27. Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan di kawasan lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri akan dihentikan, semua jentera dan peralatan akan dialihkan sepanjang tempoh operasi ini dijalankan.

28. Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi jalan persekutuan dan jalan negeri bagi tempoh yang sama; (Jalan Persekutuan 80 km/j manakala Jalan Negeri 70 km/j).

29. Untuk tempoh ini juga, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menjalankan kajian penilaian terhadap keberkesanan program-program yang dijalankan semasa Ops Bersepadu.

30. Tiga indikator utama yang akan diguna pakai untuk menilai keberkesanan Ops sempena Tahun Baru Cina adalah seperti berikut:
(i) Persepsi pengguna jalan raya ke atas penguatkuasaan dan advokasi;
(ii) Perubahan tingkah laku pengguna jalan raya; dan
(iii) Hasil penguatkuasaan iaitu kadar risiko kemalangan dan statistik kemalangan yang diperolehi daripada PDRM.

31. Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kecemasan dan Trauma dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga akan bersiap sedia selama 24 jam bagi memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan atau nahas yang mungkin berlaku.

32. Bagi maksud tersebut, JBPM dan APM akan membuka bilik gerakan serta mengadakan rondaan dengan memberi tumpuan di kawasan kerap berlaku kemalangan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Advokasi Khas Oleh Syarikat-syarikat Swasta

33. Penglibatan pihak swasta dan bukan kerajaan dalam kempen keselamatan jalan raya sentiasa dan amat dialu-alukan.

34. Saya berasa begitu gembira melihat perkembangan positif ini dan sekalung penghargaan yang tidak terhingga saya sampaikan kepada beberapa syarikat swasta yang telah menyumbang dalam usaha murni pada tahun ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak Pusat Membeli-belah MyTown kerana telah memberi kemudahan logistik bagi melancarkan KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA DAN OPS BERSEPADU PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA pada tahun ini.

35. Bagi pemandu yang memandu jarak jauh sudah tentu merasa kepenatan, justeru itu PETRONAS Dagang Berhad akan membuka kaunter Coffee Break sempena kempen Balik Kampung di 141 Cawangan Stesen Minyak PETRONAS yang terletak di Lebuh Raya dan Jalan Utama Seluruh negara pada musim perayaan Tahun Baru Cina 2018.

36. Kempen ini bertujuan menggalakkan pemandu untuk berhenti rehat dan menyegarkan badan semasa memandu balik kampung. MOT dan Petronas juga telah berkolaborasi bagi menyediakan hebahan bermesej 7 Tips Keselamatan Jalan Raya.

37. PUSPAKOM Sdn Bhd pula akan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara sukarela dan percuma kepada orang awam dari 5 hingga 15 Februari 2018 di semua cawangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) seluruh negara (kecuali Shah Alam, Taman Bukit Maluri, Kota Bharu, Mak Mandin, Langkawi, Labuan dan Lahad Datu).

38. Pemeriksaan yang akan dijalankan meliputi aspek pengesahan identiti kenderaan, ujian pengeluaran asap, bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, suspensi, dan ketelusan cermin;

39. Selain itu, SHELL Malaysia seperti biasa turut melaksanakan program keselamatan jalan raya bermula 15 Januari 2018 hingga musim cuti sekolah pada 14 Mac 2018.

40. PETRON juga melaksanakan program pemeriksaan kenderaan secara percuma (30 Point Check) bermula 2 Februari hingga 16 Februari 2018 di stesen-stesen minyak PETRON terpilih di negeri-negeri seperti Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Sabah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

41. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua YAB Menteri Besar, Ketua Menteri dan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri yang bersama-sama menggerakkan pasukan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya peringkat negeri masing-masing yang dikoordinasikan oleh JKJR negeri.

42. Akhir kata, saya menyeru semua pengguna jalan raya dan lebuh raya, pandulah dengan berhemah dan patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan statistik kemalangan jalan raya.

43. Marilah kita sama-sama berazam dan berusaha bagi mengurangkan kejadian kemalangan akibat dari sikap dan kelalaian kita sendiri.

44. Sebelum saya akhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, agensi kerajaan, swasta dan NGO yang telah bekerjasama untuk menjayakan kempen ini. Jangan sesekali kita berasa penat untuk menjalankan advokasi keselamatan jalan raya.

45. Memandangkan Tahun Baru Cina bakal menjelang, saya ingin mengucapkan Selamat tahun Baru Cina kepada semua – GONG XI FA CAI, GONG XI GONG XI

46. Maka dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan Bersempena dengan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2018.

47. Sesungguhnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama.

48. “Pandu Cermat, Sampai Selamat”

Sekian, terima kasih.