Perhimpunan Bulanan 1MOT

March 1, 2018 at 12:50 pm

2018-03-01-photo-00002145

UCAPAN YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
DI MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA YB MENTERI & PERHIMPUNAN BULANAN 1MOT
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
1 MAC 2018 (KHAMIS)

ALUAN
YB Datuk Ab Aziz Kaprawi
Timbalan Menteri

Y.Bhg. Datuk Seri Saripuddin bin Hj Kassim
Ketua Setiausaha Kementerian

Y.Bhg. Dato’ Chua Kok Ching
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)

Y.Brs. Encik Mohd Khairul Adib bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar)

Ketua-ketua Jabatan

Setiausaha-setiausaha Bahagian

Tuan-tuan dan puan-puan warga MOT sekalian

PENDAHULUAN

1. Pertamanya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih saya kepada semua warga MOT, Jabatan dan Agensi yang hadir pada perhimpunan bulanan 1MOT serta sambutan perayaan Tahun Baru Cina bagi tahun 2018 pada pagi ini.

2. Kita berada di hari ke-14 sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan pada hari esok segelintir masyarakat cina akan merayakan ‘Chap Goh Mei’. Oleh yang demikian, dalam semangat rakyat Malaysia yang meraikan semua perayaan tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan, saya kira masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai kepada semua warga MOT terutama kepada mereka yang berbangsa cina.

3. Saya berharap agar tahun baru ini akan membawa tuah, kejayaan, pencapaian yang baik dan kegembiraan kepada kita semua terutamanya bagi Kementerian Pengangkutan dalam menghadapi tahun 2018 yang kita semua maklum tahun yang getir, tahun pilihanraya.

4. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Bahagian Pentadbiran dan Kewangan kerana telah berjaya menjayakan kedua-dua sambutan Tahun Baru Cina bersekali dengan Perhimpunan Bulanan MOT bagi bulan Febuari dengan begitu meriah sekali.

Warga MOT sekalian,

BAHANG PILIHANRAYA

5. YAB Perdana Menteri telah menggelar tahun 2018 ini sebagai Tahun Kejayaan dan Keberhasilan Mengagumkan atau Year of Success, Impressive Results. Ini bermakna susulan Tahun bermakna susulan Tahun year of delivery pada 2017 yang lalu, kita semua penjawat awam perlu melipatgandakan usaha dan tenaga kita bagi memastikan semua pelan dan perancangan program, inisiatif dan projek kerajaan berjaya mempamerkan hasil yang mengkagumkan.

6. Lebih-lebih lagi, dengan bahang pilihanraya yang kian terasa saban hari, kita perlu bekerja keras memastikan manfaat dan kesejahteraan rakyat melalui inisiatif yang kita rancangkan menjadi keutamaan kita. Justeru itu, kita semua disini memainkan peranan dan menggalas tanggungjawab yang begitu penting dalam mewar-warkan dan menghebahkan setiap kejayaan dan keberhasilan kerajaan.

7. Bagi MOT sendiri, terlalu banyak program dan projek yang kita telah laksanakan samada di peringkat kementerian mahupun jabatan serta agensi. Oleh yang demikian, kita perlu ‘angkat bakul’ dan menghebah kejayaan yang kita telah kecapi yang manfaatnya semata-mata untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

8. Justeru itu, saya pohon sekali lagi agar kita semua sama-sama berganding bahu dan bersama-sama menjayakan kesemua agenda transformasi kerajaan dan janji-janji kita kepada rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

PENUBUHAN CAAM

9. Pada 19 Febuari yang lepas, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah beralih menjadi sebuah badan berkanun yang dikenali sebagai Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (Civil Aviation Authority Malaysia) Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk memperkukuhkan dan mengtransformasikan industri penerbangan negara.

10. Badan yang diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan ini akan berfungsi sebagai badan kawal selia dalam aspek keselamatan dan sekuriti bagi industri penerbangan awam negara. Ia juga akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan daya saing Malaysia dalam sektor penerbangan di peringkat global.

11. Antara tanggungjawab dan bidang kuasa CAAM termasuk melindungi operasi penerbangan awam di Malaysia, menjalankan pengawasan pengawalseliaan keselamatan penerbangan awam, mengawal selia operasi perkhidmatan dan kemudahan aerodrome di Malaysia, menyediakan perkhidmatan navigasi udara di Wilayah Penerbangan (FIR) Kuala Lumpur Kota Kinabalu, menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan juga bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab dengan penyiasatan terhadap kemalangan pesawat dan insiden yang serius.

12. Selain daripada fungsi kawal selia dan pengawasan, CAAM juga akan menggalak, mempromosi, dan mengfasilitasi pembangunan dan peningkatan keupayaan, kemahiran dan perkhidmatan penerbangan awam di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan teknikal dan perundingan yang berkaitan dengan penerbangan awam serta menyediakan pendidikan dan latihan dalam industri tersebut dan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan sektor penerbangan awam.

13. CAAM ini diterajui oleh Y.Bhg. Dato’ Sri Azharuddin bin Abdul Rahman selaku Pengerusi dan Encik Ahmad Nizar bin Zolfakar selaku Ketua Pegawai Eksekutif. Mereka akan turut disertai oleh Ahli-ahli lembaga, iaitu:

1. Y.Bhg. Ir. Prof. Dato’ Dr. Chuah Hean Teik
2. Y.Bhg. Commander (H) Prof. Datuk Razali Mahfar
3. Kapten Ahmad Ridzwan bin Mohd Salleh
4. Kapten Mohamed Azharuddin bin Osman

14. Di samping itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan dan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Badan Berkanun Kementerian Kewangan akan turut memegang jawatan sebagai ahli tetap dalam Lembaga Penerbangan Awam Malaysia ini.

15. Saya yakin bahawa CAAM akan menyumbang kepada usaha berterusan negara dalam mengukuhkan mutu penerbangan negara serta menangani cabaran sedia ada, bagi memajukan sektor penerbangan Malaysia seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi hab utama industri penerbangan di rantau ini dan di peringkat global

KESELAMATAN JALAN RAYA

16. Saban tahun, bersempena dengan semua musim perayaan, pelbagai kempen dan program yang berkaitan keselamatan jalan raya giat dijalankan baik oleh agensi kerajaan mahupun pihak swasta.

17. Usaha dan inisiatif sebegini sememangnya harus dipuji dan disokong. Namun demikian, melihat kepada statistik kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya yang kian meningkat amatlah membimbangkan saya.

18. Saya ingin menyeru JKJR, JPJ dan juga MIROS untuk menggiatkan lagi inisiatif strategik di antara pihak kerajaan dengan swasta dalam hal keselamatan jalan raya bagi mempertingkat lagi program serta inisiatif ke arah memastikan matlamat kita untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian tercapai.

19. Misalnya, melalui Ops Selamat dan Ops Bersepadu yang diadakan dengan pembabitan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara polis, JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), pelaksanaan Ops Selamat pada tahun ini diharapkan dapat memberikan impak berkesan dalam menurunkan kadar kes kemalangan maut dan kematian sebagaimana tahun lalu.

20. Saya amat memandang serius perkara ini kerana ianya melibatkan nyawa rakyat kita. Oleh sebab itu, saya telah mengarahkan agar semua cuti bagi pegawai dan anggota JPJ di seluruh negara dibekukan sempena Ops Selamat dan Ops Bersepadu bermula 9 Februari lalu. Ini berikutan jumlah kemalangan semakin meningkat setiap musim perayaan.

21. Kita masih lagi menunggu statistik kemalangan ops selamat sempena perayaan tahun baru cina ini, namun saya berasa sedikit lega dengan statistic tahunan kemalangan jalan raya bagi Seluruh tahun 2017 berbanding 2016 yang menunjukkan lebih kurang 6% pengurangan bilangan kematian akibat kemalangan.

22. Namun, ianya masih jauh dari sasaran kita iaitu 10% pengurangan setiap tahun, selaras dengan aspirasi kita untuk mengurangkan 50% kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang tahun 2020 nanti.

23. Untuk itu, saya ingin memohon jasa baik warga MOT dan Jabatan supaya berperanan sebagai agen kementerian dalam memberi kefahaman kepada ahli keluarga, sahabat handai dan orang ramai tentang peri pentingnya keselamatan jalan raya ini. Ianya adalah tanggungjawab kita bersama.

Hadirin sekalian,

PENUTUP

24. Saya tidak mahu berucap dengan panjang lebar pada pagi ini memandangkan terdapat jamuan untuk semua. Apa yang penting, besar harapan saya agar warga MOT dan Jabatan dapat melipatganda usaha dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kita terutamanya dalam waktu-waktu mencabar seperti ini.

25. Sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur majlis pada pagi ini dan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai! Gong Xi! Gong Xi!

Sekian. Terima kasih.