Majlis Rumah Terbuka Malaysia TBC 2018

March 3, 2018 at 10:46 pm

TEKS UCAPAN
YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA/ PRESIDEN MCA
SEMPENA
MAJLIS RUMAH TERBUKA MALAYSIA TAHUN BARU CINA 2018
DI SUNGAI PETANI, KEDAH
PADA 3 MAC 2018 (SABTU)

Salam Sejahtera, Salam Sehati Sejiwa dan Salam 1Malaysia

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak dan isteri,
Yang Amat Berbahagia Datin Seri Rosmah Mansor

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman,
Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri,
Yang Amat Berbahagia Datin Seri Hizam Awang Ahmad

Yang Berhormat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia,
Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz

Yang Berhormat Menteri-Menteri Dan Timbalan-Timbalan Menteri

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah

Wakil-Wakil Media

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin,
Dif-Dif Kehormat, jemputan-jemputan, Saudara-saudari Yang Dihormati Sekalian,

1. Dajia hao (Apa khabar semua/ How’s everyone today?)

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih saya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kita kasihi serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di atas kesudian mereka melapangkan masa untuk bersama-sama dengan kita bagi merasmikan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina bagi Tahun 2018 yang penuh harmoni dan warna warni pada petang ini.

3. Kesudian YAB Perdana Menteri untuk hadir pada majlis sambutan pada hari ini membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap majlis perayaan yang disambut oleh semua kaum di Malaysia tanpa mengira batasan bangsa dan agama.

4. Ini secara langsung melambangkan kekuatan kepimpinan dan negara yang kaya dengan budaya yang pelbagai.

5. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana sudi menjadi tuan rumah bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz bagi menjayakan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina bagi tahun 2018 ini.

6. Sesungguhnya, peluang yang diberikan ini membuktikan bahawa kerajaan Negeri mahupun kerajaan pusat tidak pernah memandang sepi atau meninggalkan mana-mana komuniti dan agama dalam arus kepimpinan mereka.

7. Tidak lupa, terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2018 kerana telah memberi saya peluang untuk menyampaikan ucapan bagi mewakili seluruh masyarakat Cina yang berada di Negeri Kedah ini khususnya.

8. Seperti yang hadirin sekalian sedia maklum, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2018 telah berusaha bertungkus lumus bagi memastikan perjalanan majlis yang menyatukan kita semua di sini pada hari ini berjalan dengan lancar dan sempurna.

9. Saya sangat teruja kerana penganjuran MRTM kali ini diadakan dengan menggunapakai Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan melibatkan lebih banyak Kementerian dan agensi kerajaan dan diadakan dengan jangka masa yang lebih panjang berbanding sebelum ini lagi.

Para Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

10. Sambutan acara tahunan Majlis Rumah Terbuka Malaysia yang saban tahun diadakan seperti ini sama ada bagi meraikan perayaan Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Deepavali, Krismas mahupun Hari Gawai telah menjadi budaya bagi rakyat Malaysia.

11. Konsep ‘Majlis Rumah Terbuka’ memang sudah tidak asing lagi bagi segenap lapisan masyarakat di negara kita. Ia membolehkan rakyat dari kaum lain merasai kegembiraan tradisi pelbagai perayaan lain yang disambut di negara ini. Aktiviti untuk sama-sama berkumpul dan bertemu mesra ini menyumbang dalam memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat di negeri ini tanpa mengira batas sempadan kaum dan agama.

12. Seperti hadirin sekalian sedia maklum, perayaan Tahun Baru Cina memberi erti yang amat besar kepada seluruh masyarakat Tionghua di Negara ini. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di negara China ini juga adalah permulaan kepada tahun baru dan zodiak baru dalam Kalendar lunar. Mengikut kalendar Cina, tahun 2018 adalah Tahun Anjing Tanah dan sambutan besar-besaran bagi perayaan ini pada kali ini jatuh pada tanggal 16 Februari 2018 yang lalu iaitu bersamaan dengan hari Jumaat.

13. Dapat juga dilihat, di kalangan rakyat Malaysia, bukan sekadar masyarakat Cina sahaja yang meraikan dengan penggunaan warna merah, pemasangan tanglung, permainan mercun dan pemakaian baju Cheongsam, malah juga dituru serta dan dimeriahkan lagi oleh masyarakat lain.

14. Ini menunjukkan bahawa simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina ini diterima dan di raikan bersama oleh segenap masyarakat.

15. Sehubungan itu, besar harapan saya agar budaya kunjung mengunjung di musim perayaan ini dapat diteruskan supaya ianya kekal menjadi identiti masyarakat Malaysia dan tiada bandingnya dengan negara-negara lain diluar sana.

16. Sikap saling menghormati dan menghargai kepelbagaian ini hendaklah dikekalkan sebagai satu keunikan yang merupakan kunci kepada kemajuan sosioekonomi negara.

17. Ini sekali gus menolak sebarang pengaruh negatif pihak tertentu yang suka melihat rakyat pelbagai kaum saling prejudis dan bertelingkah antara satu sama lain.

18. Semoga kemeriahan perayaan yang membawa erti kebahagiaan ini akan terus menyinari kehidupan seluruh rakyat negara ini dengan penuh kesejahteraan dan keharmonian.

Para hadirin Yang Dihormati Sekalian,

19. Sebagai sebuah parti politik dominan yang mewakili masyarakat Cina di negara ini sejak lebih enam dekad yang lalu, MCA sentiasa mengutamakan masa depan masyarakatnya. Bersama parti komponen Barisan Nasional, kepentingan masyarakat Cina terus menjadi keutamaan.

20. Sebagai salah satu agenda perjuangan kami, MCA sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk menjamin masa depan komuniti. Melalui kepimpinan politik yang kuat dan stabil, MCA akan terus menyerlah dan berusaha mengharungi cabaran semasa yang mendatang. Pelbagai usaha sedang dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh dan memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat Cina.

21. Seterusnya, iziznkan saya untuk berucap dalam Bahasa Mandarin.

各位同胞,各位嘉宾,

昨天是元宵节,虽然农历新年已经过了,但新年的气氛还是浓烈。在此,我祝贺所有的同胞新年进步,万事如意。风调雨顺,国泰民安。

今天晚上我很高兴看到举国人民,不分种族和文化,一起欢庆农历新年。每逢佳节,各族人民互相拜访和祝福,显示我国人民团结一致,和谐共处。这是我们独特的模式,各大种族展开合作,建立多元的政治体制来分享政权。从独立到现在,这一股多元的政治力量发挥了巨大效应,维护人民的和谐与团结,从而实现稳定,促进经济的成长。

在首相拿督斯里纳吉的领导下,积极为人民创造幸福生活。政府制定了国家愿景,并落实国家转型计划,以朝向目标。如今,我国的经济正处于正确的轨道上,稳健的前进,未来备受看好。

今年是关键的一年,我们需要一个强大的政府,以全面推动各项发展。我希望所有的同胞给力国阵政府,让我们再接再厉,为国家带来繁荣与进步。

新的一年,新的愿望,我希望百业兴旺,国家富强,家庭幸福人人安居乐业。

 

22. Salah satu faktor yang menjamin kemakmuran dan kejayaan negara adalah formula kejayaan kerajaan yang telah sekian lama dipraktikkan. Lima nilai teras iaitu hormat-menghormati, kerjasama semua kaum, keharmonian, perpaduan dan consensus telah memastikan pembangunan negara yang berterusan.

23. Hari ini jelas kelihatan bahawa nilai teras ini telah menjadi nilai umum rakyat Malaysia. Untuk itu, saya menyeru kepada tuan-tuan puan-puan sekalian agar sama-samalah kita teruskan perjuangan yang mulia ini.

24. Masyarakat Cina keseluruhannya perlu bersedia berubah seiring peredaran zaman bagi mengatasi sebarang cabaran demi memperkasakan masyarakat keseluruhannya khususnya generasi muda kita.

25. Kita juga perlu merapatkan perpaduan dan bergerak di bawah satu payung bersama YAB Perdana Menteri untuk menikmati kemakmuran yang lebih terjamin.

26. Kita harus berganding bahu dan berjalan seiring dengan Kerajaan pada hari ini supaya masyarakat Cina di Malaysia akan lebih berjaya seiring aspirasi negara.

Tuan-tuan, puan-puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

27. Saya ingin menyahut anda semua agar marilah sama-sama kita bersatu dalam menghadapi apa jua keadaan kerana perpaduan akan menjamin kejayaan dan kesejahteraan bersama pada hari-hari yang mendatang.

28. Kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara ini letaknya pada jalinan hubungan kaum yang harmoni. Negara kita amat memerlukan kesatuan daripada semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

29. Kepimpinan negara amat-amat berpegang kepada prinsip ini dan ini harus terus diperkukuhkan demi masa depan kita dan anak-anak.

30. Sudah pasti jelas kini, pelbagai usaha bagi memperkasakan rakyat baik dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan banyak lagi telah digiatkan oleh kerajaan.

31. Segalanya disediakan untuk rakyat demi keselesaan, kemudahan, kebajikan dan kejayaan rakyat. Ini mampu diteruskan dan diperluaskan lagi dengan kepimpinan Barisan Nasional yang teguh pada hari ini.

32. Rasa kesangsian, rasa kecurigaan dan rasa ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan harus dielakkan. Keadaan itu pastinya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan yang akhirnya merugikan negara kita serta mensia-siakan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin hari ini dan terdahulu.

33. Pada kesempatan ini, saya juga mengajak tuan-tuan dan puan-puan dan semua masyarakat Cina di seluruh negara khususnya untuk bersatu tenaga untuk memberi kerjasama dan sokongan yang padu, kepada kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia supaya keamanan, kesejahteraan, keharmonian dan kejayaan yang kita kecapi ini akan berterusan dan kekal terpelihara.

34. Marilah kita menolak anasir-anasir jahat yang suka menghasut, melemparkan tohmahan dan fitnah semata-mata untuk kepentingan peribadi mereka sahaja.

35. Marilah sama-sama kita saling hormat-menghormati bagi mengukuhkan perpaduan untuk masa depan yang cemerlang.

Hadirin Sekalian,

36. Akhir kata, sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan isteri yang sudi hadir dan seterusnya merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Malaysia pada tahun ini.

37. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada teraju-teraju negara, dif-dif kehormat serta semua pihak yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.

38. Saya turut ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Tahun Baru Cina atau ’Xin Nian Kuai Le’ (Selamat Tahun Baru) kepada semua masyarakat tionghua yang turut sama hadir pada petang ini, juga kepada yang meraikannya di seluruh negara.

Sekian, Terima kasih.