Perutusan Hari Malaysia

September 16, 2018 at 8:03 am

Perutusan Presiden MCA Dato’ Sri Liow Tiong Lai Sempena Hari Malaysia

Hari ini adalah hari istimewa di mana rakyat menyambut Hari Malaysia. Bagi pihak MCA, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua warganegara. Di samping itu, saya juga berharapan agar kerajaan baharu sentiasa komited dalam merealisasikan kesejahteraan rakyat.

Matlamat penubuhan Malaysia adalah membentuk sebuah negara yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, harmoni, aman dan maju.

Kini negara kita telah mencapai kemajuan dan kestabilan. MCA berasa bangga kerana dapat memainkan peranan penting ke arah perpaduan negara dan bangsa.

Dalam tempoh 55 tahun yang lalu, kerajaan BN telah menumpukan usahanya kepada pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Akan tetapi, keadaan ekonomi sekarang semakin merosot. Kadar pertumbuhan ekonomi untuk suku kedua tahun ini telah menurun, nilai Ringgit semakin lemah dan pelabur-pelabur asing terus menarik diri. Ia jelas menunjukkan prestasi ekonomi negara telah merosot.

Walaupun 100 hari telah berlalu sejak peralihan kuasa, rakyat masih belum melihat apa-apa pelan pembangunan atau rancangan ekonomi. Sebaliknya, pemimpin kerajaan baharu lebih berminat mendedahkan kelemahan pentadbiran dahulu, memperbesarkan isu hutang negara, dan tidak terhenti-henti untuk mengungkit isu-isu lama. Ini semua akhirnya telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara terbantut. Lebih mengejutkan lagi, kerajaan telah menyatakan keperluan membentangkan sebuah bajet “belanjawan berkorban”.

Semasa tempoh pentadbiran BN, kami berusaha mewujudkan stabiliti dan kemajuan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kami tidak sampai hati terfikir rakyat berkorban. Oleh itu, kami berasa kesal tindakan kerajaan baharu yang memaksa rakyat berkorban atas kegagalan mereka sendiri untuk mencapai matlamat mereka.

Kerajaan harus mengambil kira kesusahan rakyat dan mengadakan kongres ekonomi kebangsaan, dan bukan sesetengah pihak sahaja, bagi merangka rancangan dan penyelesaian untuk mengatasi cabaran ekonomi.

Baru-baru ini pakar ekonomi telah menggesa kerajaan untuk membuat persiapan untuk menghadapi krisis ekonomi yang bakal melanda kami. Kita harus sentiasa memantau ketidaktentuan ekonomi dunia termasuk situasi perdagangan AS-China yang semakin tegang. Oleh itu, Malaysia harus mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesan terhadap ekonomi negara.

Rakyat juga kecewa tindakan kerajaan menangguh, atau membatal projek-projek mega, melaksanakan semua cukai jualan dan perkhidmatan, dan merosakkan hubungan antarabangsa. Kita sedar bahawa sikap negatif tidak akan membantu negara untuk terus bermara, malah kata-kata kosong bukannya perbuatan membina . Maka, kerajaan baharu harus mengambil iktibar daripada pengajaran ini.

Pada Hari Malaysia ini, saya berharap kerajaan akan menentukan hala tujunya. Kerajaan lebih perlu menumpukan perhatian mereka dalam pentadbiran negara, tidak membuat pusingan U, menghentikan politik populis dan berusaha sepenuhnya untuk membangunkan negara. Apa yang rakyat mahukan adalah masa hadapan yang sejahtera, dan bukannya masa hadapan yang peru berkorban.

September 16, 2018