Perutusan Hari Kebangsaan 2018

August 30, 2018 at 7:13 pm

Perutusan Hari Kebangsaan 2018
Presiden MCA Dato’ Sri Liow Tiong Lai
31 Ogos 2018

Hari Kebangsaan tahun ini lebih simbolik, negara telah melalui proses peralihan kuasa pemerintahan pertama kali selepas lebih 60 tahun secara aman. Terima kasih kepada parti Barisan Nasional yang akur pada keputusan PRU14 secara “gentleman”.

Sebilangan besar rakyat telah memilih kerajaan baru atas janji-janji Manifesto Pakatan Harapan. Maka kerajaan baru haruslah serius dalam menunaikan janji-janji mereka agar tidak menghampakan rakyat Malaysia.

Kalau kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya, terutamanya yang berjanji itu adalah pemimpin negara.

Samada pemimpin negara akan mendapat penghormatan rakyat dan dunia,bergantung pada amanah janji mereka. Kata-kata dan tindak-tanduk yang tidak beramanah dan janji yang tidak ditepati bukan sahaja akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan tetapi pelabur asing akan turut hilang keyakinan. Dasar yang sentiasa berubah-ubah boleh menyebabkan ekonomi semakin merudum dan bahasa “undiplomatic” akan merenggangkan hubungan luar. Faktor-faktor ini dan ketidaktentuan kerajaan dikhuatiri akan mengakibatkan kegawatan ekonomi seterusnya menyusahkan rakyat.

Setelah 61 tahun merdeka, kita patut menghargai asas kenegaraan yang telah dibentuk dan diperkukuhkan oleh kerajaan terdahulu. Oleh itu kerajaan baru mestilah mentadbir secara profesional bukannya bermain politik dan emosi lagi. Melampiaskan kemarahan terhadap kerajaan sebelumnya dan ke atas negara China pastinya merosakkan imej antarabangsa Malaysia yang sentiasa mementingkan keamanan serta perhubungan antarabangsa. Sekiranya hubungan Malaysia-China menjadi tegang, pastinya akan berlaku kesan domino yang bakal menjejaskan pelbagai bidang serta pembangunan ekonomi negara, termasuk periuk nasi puluhan ribu pekerja.

Kerajaan baru juga harus beringat bahawa Malaysia yang bakal mereka corakkan, masih lagi sebuah negara yang rakyatnya hidup dengan aman, mempunyai kerja serta saling bantu-membantu dalam menjamin kemajuan bersama. Keharmonian negara hari ini bukan sesuatu yang jatuh dari langit, sebaliknya ia adalah hasil dari usaha kerajaan terdahulu dengan memilih amalan dan hala tuju yang sederhana dalam jangka panjang. Pencapaian dan acuan kerajaan BN telah memperolehi restu dan hormat masyarakat antarabangsa,. Maka adalah diharapkan kerajaan baru tidak perlu mengubahnya hanya semata-mata untuk menunjukkan kelainannya.

Semangat di sebalik kemerdekaan adalah acuan perkongsian kuasa yang melibatkan semua kaum dalam memupuk keharmonian sebuah masyarakat majmuk. Perpaduan kaum negara kita telah mendapat pengiktirafan dunia. Maka kita janganlah membinasakan hasil pencapaian ini dan berpatah balik. Kerajaan baru mestilah membetulkan dan memperkasakan 1Malaysia serta membantu rakyat tanpa mengira kaum.

Bersempena dengan Hari Kebangsaan yang meriah ini, MCA mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia, semoga negara kita terus aman dan makmur!