Program Satu Komuniti Satu JPJ

November 19, 2017 at 6:13 pm

img-20171119-wa0060

TEKS UCAPAN PERASMIAN
OLEH
YB. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN PROGRAM SKSJ KHAS BIL.6/ 2017 DAERAH BENTONG
19 NOVEMBER 2017 (AHAD)
DEWAN ARENA KOMPLEKS SUKAN BENUS, BENTONG PAHANG

Yang Berbahagia Dato’/Datin/ Tuan/ Puan/Saudara/Saudari yang saya hormati sekalian.

Yang Berusaha Saudara/Saudari Pengacara Majlis

YBHG. DATO’ SHAHARUDDIN BIN KHALID
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia

YANG HORMAT DATO’ MARK BIN UJIN
Pengarah JPJ Negeri Pahang

YANG HORMAT DATO’ AZHAR BIN HAJI ARSHAD
Pegawai Daerah Bentong

YB SENATOR HOH KHAI MUN
Ahli Dewan Negara

SUPT MOHAMAD MANSOR B MOHAMAD NOR
Ketua Polis Daerah Bentong

Ketua-ketua Pengarah Jabatan

Setiausaha-setiausaha Bahagian Kementerian Pengangkutan

Pengarah-Pengarah JPJ Negeri Dan Bahagian Ibu Pejabat,

Ketua-Ketua Jabatan Dan Agensi Persekutuan Dan Negeri,

Rakan-rakan media, dan Yang Diraikan Para Peserta Program Satu Komuniti Satu JPJ

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

PENDAHULUAN

1. Terima kasih diucapkan kepada YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Khalid selaku Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia serta semua pihak yang telah bekerjasama demi menjayakan Program SKSJ Khas pada kali ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para peserta SKSJ yang berjaya memperolehi lesen memandu percubaan motosikal (Kelas B2) pada hari ini.

LATAR BELAKANG SKSJ

3. Untuk makluman semua, program SKSJ ini adalah program yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai usaha untuk mendekati masyarakat setempat, dengan membawa perkhidmatan yang dijalankan di Institut Memandu dan di pejabat JPJ terus kepada masyarakat, khususnya bagi memperolehi Lesen Memandu Percubaan (P) Kelas B2 dengan mengikut peraturan yang ditetapkan. Ianya juga merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memiliki lesen memandu, mematuhi undang-undang, peraturan dan keselamatan seterusnya dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

STATISTIK SKSJ

4. Pada kali ini, Daerah Bentong adalah merupakan lokasi keenam yang dipilih oleh JPJ Negeri Pahang untuk mengadakan program ini, yang melibatkan seramai 463 orang peserta yang terdiri daripada 322 orang kaum melayu, 36 orang kaum cina, 60 orang kaum India serta 45 orang kaum asli. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, JPJ Negeri Pahang telah melaksanakan sebanyak 29 siri SKSJ dan seramai 14,444 orang calon telah berjaya dilesenkan dalam tempoh tersebut. Manakala diseluruh Malaysia pula sehingga kini sebanyak 302 siri SKSJ telah dijalankan dan seramai 132,851 orang penduduk telah mendapat manfaat daripada program ini.

5. Program ini juga turut diselitkan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan untuk mengeratkan lagi silaturrahim anggota kerajaan dan masyarakat setempat. Saya bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas penglibatan dan kerjasama semua pihak yang telah menjayakan program ini.

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG JALAN RAYA

6. Sebagai sebuah agensi kerajaan, JPJ menguatkuasakan dan mentadbir undang-undang jalan raya bagi melahirkan pengguna jalan raya yang mempunyai budaya kepatuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan raya. Kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal, kenderaan berat dan kenderaan pengangkutan awam yang semakin meningkat dan membimbangkan negara sekarang adalah kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

7. Penguatkuasaan secara holistik antara fokus utama JPJ bagi memastikan perkhidmatan JPJ sentiasa releven dan diterima oleh masyarakat. Oleh itu, JPJ telah melaksanakan Sistem Mata Demerit bertujuan untuk mendidik serta mengubah tingkah laku pemandu kenderaan motor terhadap peraturan lalu lintas. Pelaksanaan sistem ini mula dikuatkuasakan pada, 15 April 2017 yang lalu. Untuk permulaan, hanya kesalahan yang melibatkan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah sahaja yang akan dikenakan mata demerit. Pelaksanaan Sistem Mata Demerit dilihat dapat membendung seseorang pemandu kenderaan motor itu daripada berterusan melakukan kesalahan dan akhirnya menyumbang kepada berlakunya kemalangan serta kehilangan nyawa.

KADET 1JPJ

8. Agenda utama JPJ pada tahun 2017 merupakan suatu cabaran yang penuh dengan warna warni. Kejayaan untuk menjadikan persekitaran jalan raya sentiasa selamat bakal dilaksanakan secara komprehensif.

9. Pada tahun 2016, JPJ dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah menubuhkan Pasukan Kadet JPJ di 221 buah sekolah secara perintis di seluruh Negara. Penubuhan Kadet JPJ ini adalah bertepatan pada masanya. Peribahasa “Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya” juga menjadi panduan JPJ bagi memastikan kesedaran tentang kepentingan keselamatan jalan raya dipupuk dalam diri setiap masyarakat dari peringkat awal lagi serta ianya dapat disemai secara berterusan sehingga pada masa yang akan datang. JPJ kini akan menawarkan lesen B2 dengan harga RM199.00 kepada ahli-ahli Kadet JPJ yang berumur 16 tahun ke atas sahaja. Program yang dinamakan MyLesen Kadet JPJ ini akan dilakukan secara kerjasama dengan Institut Memandu dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Jabatan Pendaftaran Negara. Permulaan program ini akan dijalankan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja dan kemudian dijalankan secara rintis ke seluruh negara tidak lama lagi.

img-20171119-wa0068

myLESEN, myLESEN GDL & myPRIHATIN

10. Agenda lain yang digerakkan oleh JPJ dalam usaha untuk membantu rakyat di bandar dan luar bandar khususnya golongan belia untuk mendapatkan lesen motosikal, JPJ dengan kerjasama Insitut Memandu telah memperkenalkan Program myLesen iaitu sebuah program untuk mendapatkan lesen menunggang motosikal pada Kadar Diskaun dengan bayaran sebanyak RM299.00.

11. Program yang telah dilaksanakan pada tahun 2015 ini bakal diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2018. JPJ mengharapkan akan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang layak untuk mendaftar dan menyertai Program myLesen.

12. Selain myLesen, dengan Kerjasama Institut Memandu dan Association of Malaysia Haulier (AMH), JPJ turut menawarkan program MyLesen GDL iaitu lesen memandu kenderaan barangan atau G.D.L (Goods Driver License) yang telah dilaksanakan pada November 2016. Para peserta myLESEN GDL yang berjaya mendapatkan lesen dalam program ini akan terus mendapat pekerjaan dengan syarikat-syarikat pengangkutan seluruh negara. Dianggarkan sebanyak 1000 kekosongan jawatan dan gaji yang ditawarkan adalah bermula dari RM3000 hingga RM5000. Justeru, sekiranya Tuan-Tuan dan Puan-Puan mempunyai sahabat atau sanak saudara yang mencari peluang pekerjaan bolehlah mendapatkan maklumat dengan menghubungi pihak kami.

13. Program sebegini merupakan sebuah pendekatan ‘touch point’ secara berterusan JPJ ke arah memberikan pendidikan peraturan keselamatan di jalan raya serta untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya menunggang tanpa lesen yang sah. Malah, pelaksanaan program ini bermatlamat untuk memastikan inisiatif 1Rakyat 1Lesen tercapai serta selari dengan hasrat kerajaan Malaysia iaitu “Merakyatkan Perkhidmatan Awam”.

14. Selain itu, JPJ juga telah memperkenalkan MyPrihatin khas buat golongan ‘Miskin Bandar’. MyPrihatin dengan tagline “Kesejahteraan Rakyat, Keperihatinan Kami”, merupakan program baru diperkenalkan pihak JPJ adalah khas buat golongan ‘Miskin Bandar’ yang membolehkan golongan ini memiliki Lesen Memandu Percubaan B2 secara sah dengan kadar bayaran minimum.

15. Syarat-syarat kelayakan peserta bagi program ini mestilah warganegara Malaysia yang memiliki MyKad, berpendapatan di bawah RM3000.00 sebulan, berumur 16 tahun dan ke atas, menetap di Kuala Lumpur dan calon juga tidak pernah memiliki apa-apa kelas lesen memandu. Bakal peserta juga akan ditapis oleh agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, ICU dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen berkenaan.

PENUTUP

16. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan untuk sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua peserta, saya berdoa dan berharap agar ilmu yang diperolehi semasa program ini dapat diamalkan dan dipraktikkan sepanjang masa.
17. Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada pihak JPJ Negeri Pahang serta semua pihak yang turut bekerjasama dalam membantu menjayakan program murni ini.

18. Terima kasih diucapkan kepada YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Khalid, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia serta semua jabatan dan individu yang secara langsung atau tidak langsung membantu JPJ dalam menjayakan program pada hari ini.

Dengan ini saya sukacitanya merasmikan Majlis Penutup Program SKSJ Khas Bil.6/2017 Daerah Bentong.

Sekian, terima kasih.